Tony Pua tak mahu tentera beli APC 8×8


Advertisements

HOTEL BUDGET SIAP TETAPI GAGAL BEROPERASI


Seandainya kita berada di pekan Simpang Taiping, kawasan parlimen  P 059 yang diwakili oleh YB DS Nizar Jamaluddin kita akan dapat melihat bangunan ini.

Bangunan ini telah dibina pada zaman pemerintahan BN dan diteruskan sewaktu Dap yang memerintah Perak selama 11 bulan.

Projek ini tidak sepatutnya didirikan di kawasan perumahan kampung tersusun. Bagaimanapun oleh kerana kawtim abang adik yang kuat antara pemaju dan PBT ketika itu projek diluluskan. Siap dengan papan tanda yang disahkan oleh Majlis Perbandaran Taiping.

Jika diperhatikan di hadapan bangunan tersebut terdapat tiang dan kabel telekom yang berselirat di hadapannya.

Di fahamkan pemaju telah memohon Telekom Taiping mengalih dan mengubah tiang tersebut tetap sehingga hari ini belum dilaksanakan.

Menurut seorang yang menentang projek ini telah menceritakan bahawa projek ini adalah milik Ketua Pemuda MCA Bukit Gantang.

Beliau buat dahulu bangunan kemudian baru maju kan permohonan kepada MPT untuk kelulusan.

Beberapa orang Ahli Majlis telah membantah projek tersebut kerana ia dibina di kawasan perumahan.

Bagaimanapun ahli-ahli majlis dari Mca dan sebagainya menyokong projek tersebut kerana ia telah pun dibina. “Tak kan sudah habis juta-juta mahu roboh pulak dan pihak MPT juga bersetuju untuk diluluskan dan papan tanda projek pun ditegakkan.

Selain projek Budget Hotel ini, Ketua Pemuda Mca tersebut juga telah membangunkan satu kawasan perumahan baru bernama Sentosa Villa yang mana tanah telah dibeli oleh beliau daripada Bekas Adun Kamunting iaitu Dato Dr Abdul Malek Mohd Hanafiah.

Projek ini juga mendapat tentangan penduduk kerana ia menyebabkan berlakunya banjir kilat apabila hujan lebat.  Pemaju membina kolam takungan yang outletnya tidak sempurna.

Paling tak seronok ialah Pemuda Mca ini terlibat dengan pembelian minyak disel subsidi atau lebih dikenali sebagai minyak kencing dari lori, bas dan nelayan di kawasan Simpang dan Matang.

PERAK BAWA TOK BATIN KE SARAWAK


Lawatan rakyat dari Semenanjung ke Sarawak akan dapat “membuka telinga dan mata” para peserta untuk memahami kebudayaan dan cara hidup pelbagai kaum di negeri ini, sekaligus memperkukuhkan perpaduan negara.


Penasihat Khas di Pejabat Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem berkata Malaysia bukan sahaja dilimpahkan dengan kekayaan pelbagai sumber asli tetapi keunikan budaya dan warisan yang menyatupadukan rakyat berbilang kaum.

“Rakyat Malaysia harus bersyukur kerana kita hidup aman dan mesra antara satu sama lain dan perbezaan kaum tidak harus menjadi satu masalah atau penghalang pembangunan negara tetapi menambahkan kekayaan negara.

“Jangan jadikan perbezaan kaum, budaya dan agama di kalangan rakyat Malaysia satu bahan pertelingkahan yang akan menjatuhkan negara kita. Biarlah ia menyatupadukan kita,” katanya pada majlis makan malam, anjuran Kerajaan Sarawak sempena lawatan Tok-tok batin Orang Asli negeri Perak ke negeri ini, di sini malam tadi.

Seramai 166 Tok Batin serta beberapa Ahli Undangan Negeri Perak melawat negeri Sarawak selama tiga hari, bermula Ahad.

Rombongan yang diketuai Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar, Pembasmian Kemiskinan dan Perladangan Negeri Perak, Datuk Sa’arani Mohamad (Adun Lenggong ) melawat di sekitar bandar raya Kuching dan juga destinasi pelancongan seperti Kampung Budaya Sarawak.

Dalam ucapan balas, Sa’arani berkata lawatan ke Bumi Kenyalang akan menyuntik semangat kepada para peserta rombongan yang juga penghubung atau wakil kerajaan dengan rakyat setempat untuk mendokong hasrat kerajaan dan meneruskan keseinambungan pembangunan negara.

KEGIATAN KOKURIKULUM ELEMEN PENTING DALAM PENILAIAN PELAJAR


Kokurikulum mungkin diambil kira dalam menilai pencapaian pelajar sekiranya peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dimansuhkan, kata Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom.

Beliau berkata bagaimanapun kerajaan perlu membuat penilaian terperinci dan mengambil kira pandangan semua pihak sebelum membuat sebarang keputusan berhubung cadangan memansuhkan kedua-dua peperiksaan itu.

Muhyiddin sebelum ini menyatakan bahawa Kementerian Pelajaran sedang mengkaji kemungkinan memansuhkan UPSR dan PMR pada masa akan datang kerana aspek pembelajaran ketika ini dilihat lebih berorientasikan peperiksaan sehingga tujuan utama untuk memberikan pendidikan holistik tidak dapat dilakukan sepenuhnya.

Antara kemungkinan yang sedang dikaji ialah UPSR dan PMR akan hanya diteruskan sebagai penilaian pencapaian pelajar di peringkat sekolah sahaja, dan bukannya sebagai peperiksaan awam.

Alimuddin berkata kementerian itu sedang mengumpul maklum balas daripada semua pihak terlibat sebelum satu sesi meja bulat diadakan bagi membincangkan cadangan memansuhkan kedua-dua peperiksaan itu.

“Kami akan menjemput pelbagai pihak antaranya parti politik bagi mendapatkan pandangan berhubung cadangan memansuhkan UPSR dan PMR,” katanya.

PENGAJARAN BAHASA MANDARIN DI SEKOLAH KEBANGSAAN


Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengarahkan pengambilan segera bagi guru bahasa Mandarin dan Tamil untuk ditempatkan di kira-kira 7,000 sekolah kebangsaan, mulai tahun depan.

Timbalan Perdana Menteri berkata beliau telah mengarahkan Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom bagi meningkatkan pengambilan bagi guru kedua-dua bahasa itu, dalam usaha untuk melaksanakan dasar Bahasa Ibunda Pelajar (POL) di semua sekolah-sekolah kebangsaan.

Pada tahun 2007 program ini telah mula digerakkan di beberapa buah sekolah di Taiping. Salah sebuah sekolah di kawasan Pekan Simpang telah terlibat dengan program ini. Seorang guru Cina yang berkemahiran dalam bahasa Mandarin telah diberi tanggung jawab untuk memulakan program ini.  

Apa yang menghairankan ialah beberapa hari kemudian sebuah akhbar Mandarin yang berpengaruh telah menyiarkan artikel di muka hadapan mengenai pengajaran bahasa Mandarin di sekolah kebangsaan. Gambar bangunan sekolah terpampang sebesar-besarnya dalam akhbar tersebut, 


Mereka juga cuba untuk mendapatkan maklumat yang lebih terperinci dari pihak sekolah tetapi gagal. Lalu akhbar itu memberi komen yang negatif  yang menunjukkan kebimbangan mereka apabila bahasa ibunda tersebut diajar di sekolah kebangsaan sebagai mata pelajaran elektif.


Mereka hanya hanya fokus kepada bahasa Mandarin, sedangkan bahasa Tamil juga diajar di sekolah tersebut. Untuk pengajaran bahasa Tamil pihak kementerian telah mengambil tenaga dari guru yang sudah bersara kerana kekurangan guna tenaga.

“Tak ada silapnya dalam sistem pendidikan kita kerana semuanya ada didalamnya. Seperti yang saya pernah nyatakan sebelum ini, bagaimana cara kita hendak menyediakan para guru bagi mengajar Mandarin dan Tamil di sekolah kebangsaan.

“Sudah tentu ada sebabnya dalam keputusan awal kenapa kita mencadangkannya supaya tidak kira India atau Cina, pelajar itu perlu tahu bahasa ibunda mereka dan apabila mereka pergi ke sekolah kebangsaan, kita mengajar bahasa ibunda mereka.

“Kita tidak perlu berdebat mengenai adanya sekolah Cina, Tamil dan kebangsaan, itu legasi dan boleh menimbulkan kekeliruan dan kita kena terima,” katanya.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, bagaimanapun berkata usaha bagi mengisi kekosongan guru bahasa Mandarin dan Tamil di semua sekolah kebangsaan tidak mungkin dapat dilaksanakan dalam tempoh singkat.

Beliau berkata ia bukan diwajibkan untuk melaksanakan pengajaran bahasa Mandarin dan Tamil di sekolah-sekolah kebangsaan tetapi bagi ibu bapa yang mendapat pendidikan dalam bahasa itu, mereka mungkin berasa lebih selesa untuk menghantar anak mereka ke sekolah-sekolah kebangsaan, yang mempunyai pengajaran berkualiti dalam kedua-dua bahasa itu.

Dasar POL itu dilancarkan pada 2006 bagi menjadikan sekolah-sekolah kerajaan lebih menarik kepada pelajar bukan Melayu dan memudahkan mereka untuk mempelajari bahasa ibunda dan menggalakkan perpaduan.

Setakat ini terdapat 373 guru mengajar Mandarin dan 163 Tamil di sekolah-sekolah kebangsaan di bawah dasar POL.

BELUM BELI LAGI PEMBANGKANG DAH KUTUK…HAPRAK PUNYA PKR


 Hasrat kerajaan untuk membeli 257 unit kenderaan pembawa anggota (APC) beroda 8X8 daripada syarikat tempatan, DRB-Hicom Defence Technologies Sdn Bhd (Deftech), bakal menguntungkan negara daripada segi pembangunan industri pertahanan tempatan.

Belum apa-apa lagi Tony Phua, Tian Chua dan Azmin sudah riuh kerana kerajaan membuat cadangan untuk membeli produk buatan dalam negara.  Agaknya PKR mahu beli kereta perisai made in Taiwan atau made in Sungai Buluh Jail.

Agaknya mereka nak jadi broker kut?

Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata hasrat itu selari dengan objektif kerajaan yang mahu melihat keupayaan dan kepakaran syarikat-syarikat pertahanan tempatan untuk terus berkembang maju.

Beliau berkata teknologi dan sistem-sistem yang dibangunkan oleh syarikat lain sebelum ini juga akan dapat digunakan dalam pembinaan dan pembuatan APC itu.

“Dalam merundingkan harga perolehan APC ini, Kementerian Pertahanan akan memastikan harga yang dimuktamadkan nanti benar-benar menguntungkan kerajaan tanpa berkompromi dalam spesifikasi kenderaan dan sistem dibekalkan,” katanya menjawab soalan Mohamed Azmin Ali (PKR-Gombak) pada persidangan Dewan Rakyat di sini Selasa.

Mohamed Azmin ingin tahu mengenai senarai terperici pembekalan kelengkapan ketenteraan bernilai RM8 bilion oleh Deftech kepada kerajaan dan rasional pemilihan syarikat berkenaan dalam projek itu.

Ahmad Zahid berkata pemilihan Deftech bagi pembekalan itu masih belum muktamad memandangkan kerajaan baru menghantar Surat Hasrat kepada syarikat berkenaan manakala harga pembekalan tersebut masih di peringkat rundingan.

Beliau berkata pemilihan Deftech dilakukan secara rundingan terus berdasarkan kepakaran syarikat dalam pembangunan kereta perisai khususnya kereta perisai Adnan ACV 300 yang kini digunakan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Harga permulaan yang ditawarkan pihak syarikat adalah RM7.983 juta (hampir RM8 bilion). Harganya antara lain akan turut mengambil kira kos pembinaan fasiliti baru serta pembelian peralatan bagi membangunkan kenderaan, pemindahan teknologi serta perolehan Hak Harta Intelek,” katanya.

TRANSFORMASI EKONOMI VS REFORMASI PERIBADI ANWAR


KOTA KINABALU, 29 Jun – Malaysia perlu melakukan transformasi menyeluruh bagi membolehkan negara ini berada dalam kelompok negara berpendapatan tinggi menjelang 2020, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak malam Selasa.

Katanya, bagi mencapai hasrat itu, pendekatan melahirkan masyarakat berprestasi dan bersatu padu dilakarkan melalui konsep 1Malaysia yang tidak mengenepikan asas-asas kekukuhan negara, termasuk Perlembagaan dan Rukun Negara.

“Bagi memacu pertumbuhan, dasar-dasar yang lebih progresif dirangka agar kerelevanan dengan keperluan semasa dapat dipenuhi.

“Antaranya ialah meliberalisasikan 27 subsektor ekonomi, menggariskan Model Baru Ekonomi yang berteraskan ekonomi inovasi dan kreativiti, melengkapkan kerjasama erat sektor awam dengan swasta, menghargai bakat dan potensi modal insan, dan menggerakkan perspektif pemikiran selaras dengan pelan transformasi,” katanya ketika merasmikan Majlis Tilawah Al-Qur’an Peringkat Kebangsaan Kali Ke-53 di sini.

Najib berkata pembentangan Bajet Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) melibatkan RM230 bilion baru-baru ini adalah berkonsepkan 1Malaysia dan diformulasikan berasaskan Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Model Baru Ekonomi serta dijana dengan enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

“Kombinasi antara strategi-strategi tersebut adalah ramuan terbaik dalam memacu negara ke arah ekonomi berpendapatan tinggi yang mampan dan inklusif,” katanya.

Selain itu, Najib berkata konsep 1Malaysia yang berteraskan keadilan sosial juga berasaskan tuntutan al-Qur’an yang berhasrat untuk mengukuhkan perpaduan negara melangkaui toleransi dengan penerimaan kepelbagaian etnik dan agama.

Jelasnya, pendekatan itu penting bagi mengekalkan kestabilan sosial dan politik agar Malaysia kekal relevan sebagai destinasi perniagaan dan pelaburan yang menarik.

“Hasil pelan transformasi ini telah menjadikan Malaysia lebih dihormati sebagai sebuah negara Islam progresif.

“Pengiktirafan ini sepatutnya kita pertahankan, dan kerana itu Malaysia tetap bertegas untuk terus menjejaki petualang yang boleh menjejaskan negara, termasuk kumpulan militan, pemerdagangan manusia dan aktiviti penyeludupan.

“Meskipun tidak berupaya menghapuskan petualang ini sepenuhnya, sekurang-kurangnya Malaysia telah menunjukkan kemampuan untuk mengekangnya dari terus menjadi barah dan bencana,” katanya.

Najib berkata sikap progresif yang menekankan transformasi harus dikembangkan secara meluas dan mendalam terhadap setiap umat Islam di negara ini.

Beliau berkata usaha mentransformasikan diri itu perlu bagi melahirkan umat yang menentang semua bentuk ketidakadilan.

“Bagi melahirkan umat yang progresif, kita hendaklah berusaha membangun semula pemikiran Islam yang lebih dinamik dan sesuai dengan realiti sosial, tetapi tetap menjadikan Islam sebagai wadah yang kukuh dirukuni dan diadunkan dengan aspek keadilan sosial, kesederhanaan dan penerimaan, di samping isu-isu yang berkaitan ekonomi, politik dan budaya,” katanya.

Beliau menyarankan cendekiawan Islam menganjurkan pemikiran melalui pelbagai wacana intelektual, termasuk mentafsirkan semula nilai-nilai Islam yang terkandung dalam al-Quran agar terus relevan dan mampu melahirkan peradaban Islam.

Mengenai penganjuran majlis tilawah al-Quran, Najib berkata bilangan penganjuran pertandingan itu dan jumlah qari serta qariah yang menyertainya masih belum cukup bagi memastikan bidang pengajian al-Quran nampak menyeluruh dan berdaya saing.

Perdana Menteri berkata qari dan qariah yang dihasilkan melalui pertandingan itu bukan sahaja perlu lancar dalam menguasai ilmu tajwid dan taranum, malah seharusnya mantap berfikir, berhujah, berkomunikasi dan mampu membantu menyebarkan ilmu al-Quran kepada masyarakat.

“Justeru, seharusnya johan qari dan qariah memanfaatkan ilmu dan bakat mereka, sekaligus menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan dan pengajian al-Quran,” katanya.

Beliau menyarankan semua qari dan qariah membantu negara dengan menyumbang ilmu untuk mendidik umat Islam supaya celik dan membudayakan al-Quran.

Oleh itu, pemberian imbuhan bulanan oleh kerajaan sebanyak RM2,000 sepanjang hayat kepada johan qari dan qariah peringkat antarabangsa diharap akan menyuntik semangat mereka untuk terus menabur bakti dalam memperkasakan umat dan memajukan negara.