Apa jadi dokumen negara Islam?


Image
DR MASHITAH IBRAHIM
22 Jun 2012

Tahun ini genap satu dekad Dokumen Negara Islam. Ketika dilancarkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada November 2003, ia dicanangkan sebagai “usaha serius menangani kegagalan akal manusia” berhubung pelbagai masalah dalam negara. Dokumen ini kononnya merangkumi semua aspek negara Islam berasaskan al-Quran dan Sunnah, yang disediakan tenaga pakar Pas.

Dokumen ini diterbitkan sebagai reaksi kepada cabaran bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan kritikan seorang wakil Pemuda Pas terhadap kepimpinan parti di muktamar ke-49. Selama puluhan tahun Pas menuduh kerajaan sebagai sekular, Perlembagaan Persekutuan sebagai jahiliah, mahkamah sebagai toghut dan Umno sebagai “kafir berikat” kerana hubungannya dengan parti MCA dan MIC dalam Perikatan-Barisan Nasional.

Cerdik pandai Pas mengambil masa dua tahun setengah menyediakan dokumen 53 muka surat ini, atau purata sebulan untuk menyiapkan 1.8 muka surat.

Sepuluh muka surat pertama dihiasi tiga ayat al-Quran mengenai kerajaan, bersifat umum dan boleh diguna pakai sesiapa.

Empat muka surat selanjutnya ialah kata-kata aluan Abdul Hadi.

Mukadimah pula lima muka surat menjelaskan ideologi Pas. Isi sebenar cuma 32 muka surat, terbahagi kepada empat bahagian: tasawur (gambaran) negara Islam, dasar utama pemerintahan, ciri-ciri utama dan beberapa polisi umum negara Islam.

Dari segi ilmu, perbincangan dalam dokumen ini sangat tohor, tidak ilmiah dan terlalu umum untuk dijadikan panduan.

Penghasilannya bagai melepaskan batuk di tangga. Allahyarham Prof Datuk Dr Syed Hussein Alatas berpendapat isi buku ini bagaikan khutbah biasa selain penjelasan yang banyak berselindung, banyak kesalahan bahasa dan lebih cenderung menimbulkan kekeliruan daripada penerangan.

Sebaik sahaja diterbitkan, dokumen ini menerima pelbagai kritikan. Paling lantang ialah pucuk pemimpin DAP. Karpal Singh kata, “langkah mayat dia dulu” jika Pas mahu wujudkan negara Islam. Lim Kit Siang berkata, dokumen ini tidak boleh diterima langsung kerana bercanggah dengan Perlembagaan dan manifesto bersama Barisan Alternatif 1999. Ia juga bercanggah dengan prinsip demokrasi, hak asasi, pluralisme, hak wanita dan modenisme.

Kit Siang tuduh Pas tidak boleh dipercayai kerana bersikap ‘lidah bercabang”. Jaminan Pas tidak meneruskan perjuangannya membentuk negara Islam diisytiharkan Mursyidul Am, Datuk Nik Aziz Nik Mat di Persidangan Gereja-Gereja Malaysia di Petaling Jaya pada Mei 2000 dan Naib Presiden ketika itu Datuk Mustafa Ali dalam wawancara BBC pada September 2003. Kit Siang menarik perhatian mengenai perbezaan kandungan dokumen ini dalam versi bahasa Melayu dan Inggeris – satu cubaan Pas untuk memberi mesej berbeza kepada pengundi Melayu-Islam dan pengundi bukan Melayu-bukan Islam.

Pemimpin veteran DAP, Dr Tan Seng Giaw berkata, partinya tidak akan menyokong hasrat Pas menubuhkan negara Islam kerana ia hanya senjata Pas berebut agenda agama dengan Umno. Dokumen Negara Islam bersifat superfisial, kurang substance dan Malaysia tidak boleh dikuasai pemerintahan ala Ayatollah Khomeini, tegasnya.

Pemimpin sekutu termasuk Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah dan Dr Syed Husin Ali jelas tidak selesa dengan pendirian Pas.

Mereka mengeluarkan kenyataan akhbar menghormati hak Pas tetapi menegaskan bahawa “sebarang perubahan sistem perundangan dan pengenalan undang-undang hudud perlu mendapatkan sokongan majoriti rakyat.”

Tahun ini sepatutnya Pas meraikan sambutan tahun ke-10 dokumen ini diterbitkan kerana ia hasil cerdik pandai Pas mengenai matlamat perjuangannya.

Namun, semua orang tahu Pas hari ini sudah banyak berubah dari segi prinsip, cara dan asas perjuangan politiknya.

Yang penting bukan lagi negara Islam tetapi kuasa semata-mata. Buku kecil ini pun tidak boleh didapati lagi, baik di pasaran mahupun pejabat Pas. Saya percaya pemimpin Pas sendiri lebih senang jika isu dokumen ini dikuburkan saja. Ia sudah diganti dengan buku lain iaitu perihal negara berkebajikan yang sudah pun saya ulas dalam ruangan ini. Sama-samalah kita tengok apa jadi buku negara berkebajikan ini, adakah nasibnya seburuk Dokumen Negara Islam?

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: