Najib kecam penyebaran berita palsu


PERDANA MENTERI NAJIB RAZAK MENGECAM BERITA PALSU, MENGGESA MEDIA UNTUK MELAPORKAN FAKTA YANG BENAR MENGENAI TRANSFORMASI NASIONAL MALAYSIA

Malam ini, Perdana Menteri Dato’ Sri Najib Tun Razak menggesa media nasional dan antarabangsa untuk menjaga kepercayaan pembaca dengan mengetuai perjuangan menentang arus berita palsu dan tidak benar. Bercakap di Asian Media Awards yang dianjurkan oleh World Association of Newspapers and News Publishers di Kuala Lumpur, Perdana Menteri berkata: 

“Arus berita palsu dan tidak benar mengancam untuk menjadikan kebenaran sesuatu perkara yang subjektif semata-mata, dengan hanya kaitan yang sedikit kepada fakta-fakta yang sebenar. Kita tidak kebal kepada masalah ini di Malaysia. Kita mempunyai bekas pemimpin yang bercakap mengenai Malaysia akan muflis.

“Kita mempunyai orang yang bercakap tentang Malaysia yang sedang dalam bahaya menjadi negara yang gagal. Dan malangnya, apabila lawan kerajaan menyebarkan berita palsu, sesetengah orang mempercayai mereka, kerana mereka percaya – secara salah – bahawa mereka tidak akan berbohong.”

Malah, kata Perdana Menteri, jumlah besar pelaburan langsung asing yang telah Kerajaan telah peroleh menunjukkan bahawa “seluruh dunia percaya bahawa Malaysia adalah tempat yang baik untuk menjalankan perniagaan, untuk mewujudkan perniagaan baru, dan untuk berkembang”. Beliau berkata:

“Mereka tidak salah. Malah, BAV Consulting dan Wharton School di University of Pennsylvania baru-baru ini menerbitkan satu laporan di mana mereka menamakan Malaysia sebagai negara terbaik untuk melabur. Mereka berkata bahawa kita adalah peneraju yang jelas. Adakah itu kedengaran seperti sebuah negara yang gagal kepada anda?”

Tetapi trend berita palsu dan laporan palsu, kata Perdana Menteri, tidak terhad kepada media sosial Malaysia sahaja. Beliau berkata:

“Sebuah akhbar asing yang terkenal telah bertindak mencetak pembohongan semata-mata mengenai Kerajaan. Mereka berbuat demikian, misalnya, mengenai pelantikan Gabenor baru untuk Bank Negara tahun lepas.”

“Mereka tanpa hormat malah mengaitkan dengan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong juga. Semuanya tanpa sebarang bukti dan hanya berdasarkan sumber tanpa nama yang mungkin langsung tidak wujud. Dan pelbagai sumber, termasuk pihak berkuasa bebas, yang tidak sesuai dengan sebahagian daripada naratif mereka, mereka mengabaikannya begitu sahaja.

“Mereka membenarkan diri mereka untuk digunakan sebagai proksi media kepada mereka yang mahu campur tangan dalam sebuah negara yang berdaulat dan menukar kerajaan yang dipilih secara demokrasi pada pertengahan kitaran. ‘Etika kewartawanan’ mereka telah tersejat dalam usaha mereka yang mementingkan diri untuk mengecapi kemasyhuran peribadi.”

Fakta-fakta yang tidak boleh dipertikaikan tentang Malaysia, kata Perdana Menteri, adalah ini:

“Kita mempunyai pertumbuhan yang sihat selama bertahun-tahun, dan walaupun dalam masa yang sukar untuk ekonomi global, kita telah mencatatkan pertumbuhan sebanyak 4.2 peratus pada tahun 2016. Kita menjangkakan angka yang lebih tinggi sedikit untuk tahun ini, dan angka itu akan meningkat pada tahun 2018. Angka ini menunjukkan Malaysia sedang berkembang pada lebih daripada dua kali ganda kadar yang IMF ramalkan untuk negara maju dalam tempoh masa yang sama.

“Antara tahun 2010 dan 2016, kita telah mewujudkan 1.8 juta peluang pekerjaan, di mana lebih daripada satu juta adalah pekerjaan berpendapatan tinggi. Pendapatan Negara Kasar meningkat hampir 50 peratus. Kita hampir membasmi kemiskinan, mengurangkannya kepada hanya 0.6 peratus.

“Kita berjaya mengekalkan inflasi dan pengangguran pada kadar yang rendah, dan telah diiktiraf oleh institusi global seperti Bank Dunia dan IMF untuk pembaharuan yang telah kita laksanakan.”

Dalam satu lagi contoh berita palsu, Perdana Menteri merujuk kepada ahli akademik asing yang sering menulis mengenai Malaysia, yang telah menulis pada Disember lalu bahawa Malaysia telah mengalami penguncupan ekonomi. Perdana Menteri berkata:

“Mari kita jelaskan tentang perkara ini. Ahli ekonomi Harvard Kenneth Rogoff mentakrifkan penguncupan sebagai, dan saya petik: “versi kemelesetan yang lebih teruk” yang “disertai dengan kejatuhan kewangan”. 

“Ini, kononnya, adalah apa yang dialami Malaysia pada akhir tahun lepas. Itu sudah tentulah tidak masuk akal, tetapi adakah mana-mana kawan rapat ahli akademik ini dalam pembangkang Malaysia bergegas untuk membetulkannya? 
Ternyata tidak. Malah, mereka mula mengulangi kenyataan palsu beliau, walaupun mengetahui bahawa itu sememangnya adalah palsu.

“Sememangnya, kepalsuan ini masih dalam artikel beliau dalam pelbagai laman web – kerana ia sesuai dengan tujuan politik berat sebelah dan mementingkan diri mereka untuk menyebabkan orang ramai percaya yang paling teruk tentang negara ini.”

Kebebasan bersuara sedang “berkembang maju” di Malaysia, kata Perdana Menteri, merujuk kepada kritikan yang kerap ke atas Kerajaan, menteri-menteri dan pegawai-pegawai dalam media Malaysia. Tetapi dengan kebebasan, beliau berkata, adanya tanggungjawab.

“Kita di sini hari ini, di dalam bilik ini, boleh dan mungkin tidak bersetuju tentang banyak perkara. Itu termasuklah prestasi Kerajaan dan keadaan Malaysia amnya.

“Tetapi saya akan menggesa anda untuk mengingati kata-kata seorang wartawan yang masih disanjung hari ini, editor lama Manchester Guardian, CP Scott. Beliau mengisytiharkan, dan saya petik, bahawa “komen adalah bebas, tetapi fakta adalah suci.”

“Kerajaan Malaysia akan berada di samping anda. Apa yang kami minta sebagai balasan hanyalah peluang untuk mengingatkan anda untuk bergantung kepada laporan dan sumber anda, dari negara mana pun, bukannya pada khabar angin, bukannya pada kenyataan daripada sumber tanpa nama, dan bukannya pada propaganda yang dibuat, tidak kira betapa meyakinkannya kenyataan itu – tetapi pada fakta yang disahkan.

“Kami tidak takut fakta: kerana fakta tidak boleh dipertikaikan. Untuk masa depan akhbar, kedua-dua cetak dan dalam talian, untuk menjadi sumber berita yang sihat seperti yang kita semua mahukan dan perlukan, saya yakin bahawa ia adalah sesuatu yang semua di sini akan bersetuju.”

PEJABAT PERDANA MENTERI MALAYSIA


Sila lihat teks penuh ucapan Perdana Menteri di sini: https://www.najibrazak.com/en/blog/publish-asia-awards-2017/

Advertisements