​Surat terbuka untuk Rafizi Ramli


by: Nazuri Ismail April 25, 2017

 

Kehadapan YB Rafizi Ramli yang dihormati,
Pertama sekali maaf jika surat terbuka ini kurang disenangi YB dan penyokong-penyokong YB dan mungkin juga pemimpin Pakatan Harapan yang lain.

Luahan ini bagi melepaskan  apa yang terbuku dalam hati dengan apa yang berlaku sejak akhir-akhir ini yang melibatkan YB dan Pakatan Harapan.

Diakui YB seorang pemimpin muda yang berwawasan dan bijak sehingga mampu mencipta fenomena dalam politik tempatan, yang selama ini dipandang sepi oleh golongan muda.

Siapa yang boleh lupa pendedahan isu lembu dalam kondo, kontroversi 1MDB,  pelaburan Tabung Haji, isu YaPEiM dan banyak lagi.

YB menjadi idola anak-anak muda walaupun YB bukanlah lelaki metroseksual, sado atau sekacak Khairy Jamaluddin yang menjadi kegilaan wanita. Namun, YB tetap menjadi pujaan kerana bijaksana, cerdik, pandai berpidato dan fasih berbahasa Inggeris.

Ciri-ciri  pemimpin muda memang ada pada YB dan tidak hairanlah YB menang penuh bergaya pada PRU12 dan PRU13.

Namun, sejak-sejak akhir ini YB seperti hilang arah dan kurang sengat berbisa apabila banyak dakwaan YB terhadap  UMNO dan BN boleh dipatahkan dengan mudah. Pendek kata serangan YB lebih kepada tuduhan melulu dan berunsur fitnah.

YB juga seperti ‘menjilat ludah’ kerana berbaik-baik dengan Tun Dr Mahathir Mohamad padahal satu waktu dulu YB menghasut kami membenci beliau. Adakah YB sudah lupa?

Kewibawaan YB  terjejas kerana menentang Rang Undang-Undang (RUU) Akta Mahkamah Syariah yang bertujuan meningkatkan hukuman kepada pesalah syariah. Mengapa YB bersekongkol dengan DAP menentang pindaan untuk kebaikan Orang Islam juga?

Ya kami tahu RUU355 dipolitikkan tetapi mengapa YB perlu menentangnya sedangkan rakyat bukan Islam tidak peduli pun kerana ia tiada kaitan dengan mereka.

Agak  kecewa kerana  YB terperdaya dengan mainan politik ini. YB kelihatan seperti tersesat dan begitu taasub dengan ulama DAP.

Tahukah YB,  golongan muda sangat kecewa dengan pendirian YB menolak RUU355 sedangkan ia baik untuk mencegah jenayah dalam kalangan orang Islam.

Malah, YB juga dinasihat supaya bertaubat oleh pemimpin bertaraf ulama kerana membuat tuduhan melulu. Walaupun YB tidak terkesan, tapi bagi orang Islam lain, nasihat itu satu mesej sangat ‘deep’.

YB Rafizi,
Sebelum RUU355, YB pernah melukakan hati penyokong Pakatan Harapan kerana membuat mereka percaya subsidi minyak dimasukkan dalam akaun Perdana Menteri dan isteri untuk membeli-belah. Apabila diugut saman, YB dengan bangga berkata ia sekadar gurauan. Luluh hati penyokong YB  kerana dipermainkan.

Sebenarnya  kewibawaan YB sudah mula goyah sejak Langkah Kajang apabila YB membuat fitnah 91 muka surat terhadap Menteri Besar YB sendiri, Tan Sri Khalid Ibrahim. Merata tempat YB menjaja fitnah dan akhirnya YB menanggung malu kerana diarah meminta maaf secara terbuka di mahkamah.

YB hanya ‘relax’ seperti tidak tahu malu tetapi  penyokong Pakatan Harapan rasa seperti ditipu hidup-hidup.

Tidak ramai  tahu YB antara perancang utama Langkah Kajang untuk mengangkat Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Menteri Besar.  Namun akhirnya YB ditewaskan oleh kartel Datuk Seri Azmin Ali.

Disebabkan idea YB itulah akhirnya PAS keluar Pakatan Rakyat sehingga terkuburnya gabungan itu. YB dan pemimpin DAP pula berpakat memburukkan  Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan pemimpin PAS lain untuk menutup kesilapan strategi YB.

Kerana Langkah Kajang juga Anwar dipenjara.  Ya, ia mungkin strategi BN tapi kerana idea bodoh YB lah semua itu berlaku.

Orang yang patut dipersalahkan kerana hancurnya Pakatan Rakyat adalalah YB dan pemimpin DAP terutama Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng.

YB bukan saja merobohkan gabungan pembangkang yang sangat kuat untuk menjatuhkan BN tetapi lebih teruk merobohkan harapan rakyat.

YB Rafizi,
YB seolah-olah serba tahu penyelewengan UMNO dan BN tetapi kenapa YB tutup mata apa dilakukan kerajaan  di Selangor dan Pulau Pinang?

Kenapa YB tidak bersuara apabila kerajaan Selangor mahu membayar RM2.8 bilion untuk ambil alih SPLASH sedangkan ketika zaman Khalid Ibrahim,  kerajaan negeri hanya setuju bayar RM250 juta. Jawapan YB tidak tahu nilai SPLASH  sangat tidak masuk akal.

Tertanya-tanya juga adakah YB pernah menerima manfaat daripada pemilik SPLASH?  Semua orang tahu pemilik SPLASH rapat dengan PKR sama seperti ahli perniagaan yang kini ditahan di Singapura, John Soh.

Kenapa YB tidak mendesak Lim Guan Eng bercuti atau meletak jawatan sedangkan beliau berhadapan tuduhan rasuah?   Adakah YB takut Kit Siang atau Guan Eng?

Kenapa YB tidak pernah berbicara pasal projek terowong dasar laut di Pulau Pinang yang sangat mencurigakan itu?

Kalau melibatkan pemimpin BN, YB lantang suruh mereka letak jawatan tetapi bila kena rakan pakatan, YB diam seribu bahasa.  Pendirian YB ini sangat tidak profesional.

YB Rafizi,
Semua tahu  YB berseorangan dalam PKR sekarang.  Pemimpin PKR lain telah lama menjauhkan diri kerana YB terlalu pandai.   YB tidak disukai kartel Azmin,  Zuraida juga tidak sebulu dengan YB  begitu juga AMK.  Hubungan YB dengan Presiden parti juga semakin dingin.

YB berseorangan dalam PKR kerana pemimpin lain telah membuat u-turn dan menyokong RUU355. Tidakkah YB rasa PKR mahu membunuh karier politik YB?

 
YB juga kemungkinan dihukum penjara dan tidak boleh bertanding lagi.  YB seolah-olah tidak ada masa depan dalam PKR. YB patut keluar PKR dan sertai DAP tetapi YB juga tahu, YB tidak akan ke mana kerana nama YB bukan Lim Lapi  Jee.

Andai kata YB dipenjara dan selepas dibebaskan,  adalah  lebih baik YB tinggalkan politik dan sertai  mana-mana NGO atau tubuhkan NGO baru.  Gunakan otak yang bergeliga itu untuk memperjuangkan kebajikan rakyat kerana bidang politik tidak sesuai dengan YB.

Sekian saja luahan untuk YB dan didoakan YB bahagia dengan keluarga dan kucing-kucing peliharaan (kalau masa ada).
http://www.malaysiaimpact.com/surat-terbuka-untuk-rafizi-ramli/

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: