Saksikan wayang kulit terbaik untuk andaย 


Advertisements

USTAZ HAJI AHMAD BADAWI: PENGASAS PEMUDA PAS


โœณ *BIOGRAFI PAS*

https://www.pas.org.my/arkib/biografi-pas/11362-biografi-pas-ustaz-haji-ahmad-badawi-pengasas-pemuda-pas
DEWAN Pemuda PAS adalah sayap PAS yang pertama berjaya ditubuhkan pada 25 Ogos 1953 dalam Kongres Pemuda Islam Se-Malaya di Bagan Datuk, Perak. Sebelum itu, mulai 3 April 1952, ia dikenali sebagai Dewan Pemuda Islam, yang berfungsi sebagai sebuah lajnah (biro) bagi mengendalikan urusan ahli-ahli pemuda PAS, sehinggalah Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Pertama pada 3 Januari 1953 meluluskan usul untuk menubuhkan Dewan Pemuda PAS sebagai sebuah sayap PAS bersama Dewan Ulamak PAS dan Dewan Muslimat PAS. Tokoh utama yang memainkan peranan ke arah mewujudkan Dewan Pemuda Islam, kemudiannya Dewan Pemuda PAS ini ialah Ustaz Haji Ahmad Abdullah atau lebih terkenal dengan Haji Ahmad Badawi.
Haji Ahmad Badawi adalah seorang tokoh ulamak pengasas PAS yang dilahirkan di Syuib Ali, Mekah pada 13 Oktober 1907. Ayah beliau, Sheikh Abdullah Fahim bin Ibrahim bin Tahir bin Kamaruddin al-Fathani adalah seorang ulamak besar di Mekah, sebelum menubuhkan Madrasah ad-Daerat al-Maarif al-Wathaniyah di Kepala Batas pada 1926, menjadi Mudir Madrasah Idrisiah, Kuala Kangsar (1932-1948) dan menjadi Mufti Pulau Pinang dan Seberang Perai sejak 1951. Dengan latar belakang keluarganya yang merupakan generasi ulamak-ulamak terkenal, Haji Ahmad Badawi berpeluang mengikuti pengajian agama dengan ulamak-ulamak Mekah sehingga 1920. Beliau kemudian belajar di Sekolah Arab Limbongan Kapal, Alor Setar ketika ayahnya mengajar di sekolah itu yang kini dikenali sebagai Maktab Mahmud antara 1920 hingga 1926.
Pada akhir 1927, beliau telah kembali semula ke Mekah untuk belajar di sana selama 10 musim haji. Antara guru utama beliau di Mekah ialah Sheikh Syed Mohamad Amin. Beliau terkenal sebagai seorang pelajar yang aktif di Mekah sehingga digelar “Badwi” oleh rakan-rakannya. Beliau bergiat aktif dalam sukan dan mengasaskan kelab bola sepak al-Wahdah, iaitu kelab yang terkenal sekarang di Arab Saudi. Beliau juga aktif dalam Persatuan Melayu Hijaz yang satu ketika pernah dipimpin oleh Pak Yusof Rawa, di samping turut bergerak untuk membebaskan Palestin melalui badan “al-Badawi.” Setelah 10 tahun berada di Tanah Suci kerana menuntut ilmu, pada 1938, beliau telah pulang ke Kepala Batas untuk memimpin Madrasah ad-Daerat al-Maarif al-Wathaniyah yang ditinggalkan ayahnya kerana memimpin Madrasah Idrisiah sejak 1935.
Selepas Perang Dunia Kedua berakhir pada 1945, sebagai guru agama di Madrasah ad-Daerat al-Maarif al-Wathaniyah dan imam di Masjid Jamik Kepala Batas, beliau mula terlibat dalam politik dengan menyertai Persatuan Melayu Seberang Perai (PMSP) sebagai Ketua Pemuda. Pada 11 Mei 1946, PMSP telah bergabung menubuhkan Umno, sekali gus membawa Haji Ahmad Badawi ke dalam Umno dan menjadi Ketua Umno Seberang Perai (1946-1950). Ketika Pergerakan Pemuda Umno diasaskan pada 1949, Haji Ahmad Badawi dilantik sebagai Naib Ketua Pemuda Umno Malaya (1949-1956), selain turut menduduki Jawatankuasa Kerja Agung Umno (1952-1964).
Sebagai pemimpin Umno, Haji Ahmad Badawi telah menghadiri Persidangan Alim Ulamak Malaya Pertama di Muar pada 20-21 Februari 1950 dan Persidangan Alim Ulamak Malaya Kedua di Kuala Lumpur pada 23 Ogos 1951 yang membawa kepada penubuhan Pertubuhan Ulamak Malaya. Pada persidangan Pertubuhan Ulamak Malaya di Bagan Tuan Kechil (Butterworth) pada 24 November 1951, Haji Ahmad Badawi selaku Ahli Jawatankuasa Sambutan telah mengeluarkan “Manifesto al-Badawi: Ulamak ke Jalan Allah.” Dalam persidang ini, nama Pertubuhan Ulamak Malaya ditukar kepada Persatuan Islam Se-Malaya (PAS) dan Haji Ahmad Badawi terpilih sebagai salah seorang Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS sesi pertama. Sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS, pada 23 Mac 1952, beliau telah mengusulkan supaya PAS menubuhkan sebuah “Dewan Pemuda Islam” untuk menggerakkan pemuda-pemuda ahli PAS. Usul ini diluluskan pada 3 April 1952 dan Haji Ahmad Badawi dilantik menjadi Ketua Dewan Pemuda Islam.
Selain memainkan peranan utama menubuhkan Dewan Pemuda PAS, Haji Ahmad Badawi juga bertanggungjawab membawa PAS menyokong National Convention tajaan Umno-MCA pada 26 September 1953 dan menjadikan Madrasah ad-Daerat al-Maarif al-Wathaniyah yang dimudirinya sebagai Pejabat Agung PAS (1953-1954). Memandangkan berlakunya krisis disiplin parti ketika ini kerana kebanyakan pimpinan PAS menganggotai lebih dari satu parti, pada 14 Ogos 1954, PAS telah menetapkan supaya pimpinannya tidak boleh menjadi ahli parti lain serentak, yang menyebabkan Haji Ahmad Badawi memilih untuk kekal bersama Umno. Sejak itu, Haji Ahmad Badawi telah meninggalkan perjuangan PAS ketika masih berjawatan sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS.
Di dalam Umno, Haji Ahmad Badawi memegang jawatan sebagai Ketua Pemuda Umno Pulau Pinang (1957-1959), Ketua Umno Seberang Perai / Kepala Batas (1950-1977) dan Pengerusi Perhubungan Umno Pulau Pinang (1975-1977). Beliau turut berperanan sebagai ADUN Kepala Batas (1959-1964), Ahli Dewan Negara (1964-1968), ADUN Bertam (1969-1977), Exco Kanan Kerajaan Negeri Pulau Pinang selaku Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam (1969-1977) dan pernah memangku jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang pada 1975. Di samping itu, beliau turut aktif dalam kepemimpunan masjid di Kepala Batas, mentadbir Madrasah ad-Daerat al-Maarif al-Wathaniyah dan memimpin badan-badan pentadbiran beberapa sekolah di sekitar Kepala Batas.
Setelah 70 tahun berkhidmat untuk agama, bangsa dan negara, Ustaz Datuk Haji Ahmad Badawi Abdullah telah kembali ke rahmatullah pada 7 Mei 1977, meninggalkan seorang isteri, Datuk Kailan Hassan dan dua orang anak. Anaknya, Tun Abdullah Ahmad Badawi adalah bekas Perdana Menteri Malaysia Kelima (2003-2008), manakala Datuk Seri Ibrahim Ahmad Badawi adalah seorang ahli perniagaan terkenal dengan jenama “Brahim’s.”
*Mohd Fadli Ghani*

Head, House of Resources

Pusat Penyelidikan PAS

10 Mei 2017
Arkib Biografi PAS: https://www.pas.org.my/arkib/biografi-pas
 ๐Ÿ’ป Centralized PAS Portal (CPP)

    pas.org.my
๐Ÿ’š Like Facebook PAS Pusat 

๐Ÿ“ฎ facebook.com/paspusat

๐Ÿ’š Subscribe Telegram

๐Ÿ“ฎ http://tinyurl.com/PASPusat 

๐Ÿ“ฎ http://tinyurl.com/PASPusatBot

๐Ÿ’š Follow twitter PAS Pusat 

๐Ÿ“ฎ http://www.twitter.com/PASPusat

๐Ÿ’š Follow Instagram PAS Pusat 

๐Ÿ“ฎ instagram.com/paspusat
๐Ÿš€ Sebarkan seluas-luasnyaโ€ฆ. 

Terima Kasih.